Motegi: Selepas kemenangan di MotoGP Jepun, semalam, Francesco Bagnaia menegaskan dia semakin hampir mempertahankan gelarannya.
Kemenangan itu menyaksikan jaguh Itali itu hanya ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Jorge Martin ketika masih berbaki empat perlumbaan.
Bagnaia memintas pelumba di petak utama, Pedro Acosta pada pusingan pertama di Motegi dan kekal di depan sebelum menamatkan perlumbaan 1.189 saat (s) di depan Martin manakala Marc Marquez di tempat ketiga.
Bagnaia yang menunggang jentera Ducati turut memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu dan semakin menghampiri Martin.
“Saya mahu mengekalkan kejuaraan, saya akan terus berusaha meraih sebanyak mungkin mata, tetapi tanpa mengambil risiko,” kata Bagnaia.
“Ia bukan mudah, tetapi minggu ini bermula dengan baik dan kami harus menjadikannya sebagai contoh untuk perlumbaan berikutnya.
“Kami perlu cuba mengikut apa yang dilakukan pada hujung minggu ini, bekerja dengan sempurna dan cuba melakukan tugasan dengan sebaik mungkin pada setiap perlumbaan,” katanya.
Perlumbaan berikutnya adalah di GP Australia di Phillip Island, dua minggu lalu.
Ia adalah kemenangan GP kelapan bagi Bagnaia pada 2024 yang juga pencapaian tertingginya pada semusim serta yang pertama di Jepun.
Martin yang memburu gelaran dunia pertama bermula di petak ke-11 selepas terbabit kemalangan ketika peringkat kelayakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




