Fattah Amin, Fazura Sah Bercerai Talak Satu

Fattah Amin, Fazura Sah Bercerai Talak Satu

Pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura sah bercerai talak satu pada jam 9:45 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dan Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40.

Terdahulu sebelum Fattah melafazkan cerai, ketika diluar mahkamah, pasangan itu dilihat berbincang antara satu sama lain.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan Fattah belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.

Terdahulu, status rumah tangga mereka didakwa bergolak selepas timbul dakwaan mengatakan wujud orang ketiga.

Bukan itu sahaja, konflik antara Fattah dan Fazura semakin menjadi bualan hangat selepas mereka sudah lama tidak kelihatan bersama mahupun saling berkongsi foto di mana-mana platform media sosial.

Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.

Scroll to Top