Anak Maldini perkasa Itali

Anak Maldini perkasa Itali

Rom: Itali akan menentang Belgium dan Israel pada pusingan berikutnya dalam saingan Liga Negara-Negara Kumpulan A2 selepas cemerlang dengan dua kemenangan awal termasuk menewaskan Perancis 3-1.

Pertahanan AC Milan Matteo Gabbia tersenarai susulan prestasi mantap bahagian pertahanan tengah di bawah kendalian jurulatih baharu Paulo Fonseca.

Gabbia turut menjadi pemain pertama Rossoneri disenaraikan dalam skuad Itali dalam masa 600 hari dengan Sandro Tonali yang berpindah ke Newcastle United pada 2023 muncul pemain Milan terakhir menyarung jersi Azzurri.

Turut mendapat tempat ialah pemain Monza, Daniel Maldini yang mengikut jejak bapanya Paolo dan datuk Cesare, kedua-duanya bekas kapten Itali.

Maldini menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam semua kejohanan musim ini manakala penjaga gol Juventus Michele Di Gregorio turut tersenarai kali pertama dalam skuad senior bagi menggantikan Alex Meret dari Napoli yang cedera.

Pemain Roma Niccolo Pisilli antara terpilih menggantikan pemain Atalanta Marco Brescianini yang berdepan kecederaan belakang badan baru-baru ini.

Terdapat lima wakil daripada Liga Perdana Inggeris dalam skuad 23 pemain Spalletti termasuk Guglielmo Vicario, Riccardo Calafiori, Caleb Okoli, Destiny Udogie dan Tonali

Namun tiada ruang untuk pemain baharu Liverpool Federico Chiesa yang tidak beraksi ketika kemenangan ke atas Bologna dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top