Resolusi perkasa kualiti pendidikan negara diserah kepada PM

Resolusi perkasa kualiti pendidikan negara diserah kepada PM

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Resolusi mengandungi cadangan dan harapan semua pengetua sekolah di seluruh negara akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengandungi 12 intipati, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, resolusi itu dicadangkan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) hasil perbincangan dengan warga pendidik sebagai usaha untuk memperkasa kualiti sistem pendidikan negara.

Beliau menerima resolusi terbabit pada perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam, di sini, hari ini.

Antara yang terkandung dalam resolusi itu adalah keperluan terkini termasuk memulihkan prasarana sekolah yang menjadi perhatian pihak kerajaan.

“Sebagai mewakili kerajaan, saya telah menerima maklum balas (resolusi) daripada mereka (MPSM).

“Resolusi ini bukanlah berbentuk tuntutan, sebaliknya ia adalah harapan mereka terutamanya dalam menambahkan lagi kualiti pengajaran sistem (pendidikan) di sekolah ketika ini termasuk skim perkhidmatan yang boleh dilihat semula.

“Pihak kerajaan akan melihat keperluan-keperluan yang mereka nyatakan dan kita akan mengadakan proses timbal balik dengan pengetua (selepas ini),” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Seramai 674 pengetua seluruh negara hadir pada persidangan yang bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’, berlangsung sehingga Khamis.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau yakin Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan memberi keutamaan terhadap semua perkara yang dinyatakan dalam resolusi.

“Jika kita lihat apabila beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri, beliau memang memberi perhatian kepada perkara-perkara asas yang mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak seperti keadaan tandas di sesebuah sekolah.

“Dan ini akan berlanjutan dalam hal-hal yang lain termasuk dalam konteks konektiviti di sekolah-sekolah yang diperlukan oleh mereka,” katanya.

Selain daripada keperluan terkini termasuk memulihkan prasarana sekolah resolusi itu juga antara lain membabitkan jawatan guru media diwujudkan di semua sekolah, kuarters guru-guru di Sabah dan Sarawak ditambah dan dibaik pulih.

Pada masa sama berharap kekosongan anggota khidmat pengurusan diatasi dengan segera dan mewujudkan lapisan gred baharu untuk pengetua bagi membolehkan penolong kanan dijadikan pelapis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top