London: Erik ten Hag dilaporkan bercuti dan tidak begitu bimbang mengenai masa depannya sekalipun pemimpin tertinggi Manchester United bermesyuarat untuk membincangkan mengenai kedudukannya, hari ini.
Pengendali dari Belanda itu bercakap dengan pemimpin United selepas seri 0-0 di Aston Villa, Ahad lalu dan beliau difahamkan berasa selamat dengan jawatannya tidak terancam dalam masa terdekat.
Pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe menghimpunkan pemimpin utama kelab itu selain Gary Neville di Old Trafford untuk berbincang awal pagi tadi dengan masa depan Ten Hag berada dalam agenda.
Lembaga pengarah turut akan menghadiri satu mesyuarat yang dirancang di London, hari ini.
Ia hadir selepas permulaan terburuk mereka dalam musim Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika United menghuni tangga ke-14 dengan lapan mata selepas tujuh perlawanan dan merudum dalam Liga Europa.
Di sebalik permulaan sukar itu, ESPN melaporkan Ten Hag tetap pergi bercuti ketika rehat tugasan antarabangsa.
Ten Hag berharap mendapat layanan lebih baik berbanding bekas bos Bayern Munich, Julian Nagelsmann, yang dipecat pada Mac 2023 ketika bercuti di pusat peranginan ski.
Beliau memenangi Piala Liga dan Piala FA dalam dua musim pertamanya di Old Trafford dan menegaskan kejayaan itu membuktikan perkembangan United di bawah kendaliannya.
Bagaimanapun, sesudah tumpas 0-3 di tangan Tottenham, United mensia-siakan kelebihan dua gol untuk seri 3-3 di FC Porto dan kemudian seri 0-0 dengan Villa pada Ahad, sekali gus tidak mampu mengelak kritikan.
Ratcliffe dilihat tiba di Old Trafford malam tadi dengan masa depan Ten Hag dan pembinaan stadium bernilai £2 bilion (RM11.2 bilion) antara butiran perbincangan bersama Joel Glazer dan pemimpin lain.
Difahamkan mereka tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan dan sumber menyatakan tiada sebarang perkembangan menarik berlaku semalam.
Pemilik minoriti Ratcliffe, menonton aksi tanpa jaringan United dengan Aston Villa di samping pengarah Dave Brailsford, ketua eksekutif Omar Berrada, pengarah sukan Dan Ashworth dan pengarah teknikal Jason Wilcox.
© New Straits Times Press (M) Bhd




