JPSM sasar cipta rekod MBOR ketiga melalui Program Konservasi Denai

JPSM sasar cipta rekod MBOR ketiga melalui Program Konservasi Denai

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan dalam dua edisi terdahulu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Malim Gunung Perhutanan (MGP) bakal menganjurkan Program Konservasi Denai 2024 dalam usaha melakar lagi sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga.

Pengarah Bahagian Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia merangkap pengarah program, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, program itu adalah inisiatif JPSM bagi melindungi dan menambahbaik denai laluan pendakian hutan selain meningkatkan aspek keselamatan serta memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara serta memulihara alam sekitar.

Menurut Mohd Yussainy, dalam penganjuran kali ini, JPSM cuba untuk mencipta rekod program konservasi denai secara serentak terbesar dengan mensasarkan penyertaan 10,000 peserta dan 123 denai pendakian untuk ditambahbaik secara serentak pada 19 Oktober depan.

“Sebelum ini, rekod MBOR dicipta melalui ‘Pendakian Gunung Serentak Terbanyak’ pada 2022 dan ‘Penyertaan Terbesar dalam Pendakian Gunung Serentak’ tahun lalu.

“Program tahun ini adalah cubaan ketiga bagi mencipta rekod kategori baru 2024 melalui penganjuran ‘Program Konservasi Denai Secara Serentak Terbesar’,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 Menurut Mohd Yussainy, peserta bebas memilih untuk mendaki di mana-mana denai bukit atau gunung di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), tanah kerajaan atau tanah milik tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa atau pemilik (tanah).

Katanya, JPSM tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan untuk menyertai acara itu namun pihak Malim Gunung Perhutanan (MGP) atau penganjur boleh mengenakan caj pengurusan program kepada peserta terbabit.

“Permohonan permit memasuki HSK atau bayaran tiket boleh dibuat di Jabatan Perhutanan Negeri oleh MGP atau peserta.

“Peserta perlu menghantar gambar ketika melaksanakan konservasi bersama ID plakad sebagai bukti kepada pihak urusetia.

“Peserta juga digalakkan memakai baju program untuk keseragaman,” katanya.

Mohd Yussainy berharap JPSM melalui penganjuran program itu dan memupuk kesedaran dalam kalamgan masyarakat umum dalam memelihara keadaan denai pendakian dapat ditingkatkan.

Katanya, peserta dikehendaki menjalankan kerja memasing tali, tangga dan tali keselamatan selain papan tanda arah pendakian, membaikpulih denai atau menanam pokok di mana-mana lokasi yang mempunyai denai sama ada di dalam kawasan HSK, tanah kerajaan atau tanah bermilik.

“Mereka yang berminat untuk menyertai program boleh mendaftar aktiviti konservasi yang ingin diadakan melalui laman wev tinyurl.com/trailconservation atau hubungi Amiza di talian 012-6214793 atau Ifratshim di talian 017-22156512.

“Mari bersama jalankan peranan kita dalam memulihara denai pendakian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top