Tuah 500 kali dalam setahun

Tuah 500 kali dalam setahun

Tokyo: Seorang wanita di Jepun mendakwa dia memenangi kira-kira 500 cabutan menerusi acara Raffle, dalam setahun, sekali gus mengumpul hadiah bernilai hampir AS$70,000 (kira-kira RM300,140) yang menyebabkan dia mendapat julukan “Ratu Bertuah”.

Raffle biasanya membabitkan penjualan tiket, yang mana setiap tiket berpeluang memenangi hadiah. Lebih banyak tiket yang anda beli, lebih baik peluang anda untuk menang. Hasil jualan tiket selalunya disalurkan untuk tujuan amal.

South China Morning Post (SCMP) baru-baru ini melaporkan, wanita itu, Kanae Hirayama, berkongsi rahsia kejayaannya kepada orang ramai. Dia dipaparkan dalam program televisyen Jepun, I Will Make You Happy: The Queen Teaches You Winning Techniques.

Menerusi program itu, Hirayama mendedahkan bahawa lebih separuh daripada barangan di rumahnya diperoleh melalui kemenangan dalam acara Raffles.

Di Jepun, adalah perkara biasa bagi perniagaan untuk menjalankan undian dalam talian, menggunakan hadiah sebagai strategi pemasaran yang berkesan.

Hirayama berkata, dia memenangi pelbagai barangan, termasuk periuk, kotak bento, cawan, mainan kanak-kanak, bola yoga dan juga makanan ringan – semuanya tanpa membelanjakan satu sen pun.

Dia juga bernasib baik kerana memenangi beberapa barangan bernilai tinggi, seperti ketuhar bernilai 70,000 yen (RM2,030) dan penapis air bernilai 100,000 yen (kira-kira RM2,900).

Kemenangannya yang paling ketara setakat ini ialah sebuah kereta bernilai empat juta yen (kira-kira RM116,000).

Pada rancangan itu, Hirayama berkongsi beberapa strategi utama untuk meningkatkan kemungkinan menang.

Pertama, beliau menekankan kepentingan mendaftar untuk undian paling hampir dengan tarikh tutup penyertaan.

“Banyak (penganjur) menggunakan proses pemilihan manual, jadi lebih cepat penganjur melihat nama anda, lebih baik peluang anda,” jelas Hirayama.

Dia juga menekankan kepentingan masa; penyertaan cabutan pada awal dan akhir tahun, adalah penting. Semasa tempoh sibuk ini, biasanya terdapat lebih sedikit peserta, yang meningkatkan peluang untuk menang.

Paling penting, Hirayama menyatakan paling adalah ketekunan untuk menyertai acara berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top