Kerajaan teliti pelan strategik perangi masalah malpemakanan kanak-kanak

Kerajaan teliti pelan strategik perangi masalah malpemakanan kanak-kanak

Putrajaya: Kerajaan sedang meneliti Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak sebelum pengumuman penuh berhubung pelaksanaannya dibuat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Jemaah Menteri hari ini menerima laporan terkini daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai usaha-usaha dan pelan strategik dalam menangani isu berkenaan.

“Ada beberapa ikhtiar, kalau sebelum ini kita ada rancangan makanan tambahan (RMT), dan ada juga dibangkitkan dalam perbincangan ini mengenai sesi persekolahan yang berbeza (iaitu) sesi pagi dan petang maka bukan hanya sekadar melihat satu sesi, kita ingin melihat secara menyeluruh.

“Ini adalah satu perkara yang sangat penting dan sangat dekat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kita harap menjelang sidang Parlimen kali ini, kita dapat beberapa perkembangan yang positif khusus berkaitan menguruskan isu ini,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top