Barcelona: Bekas pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta yang menjuarai dua Kejohanan Eropah dan Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 40 tahun.
“Masa di atas padang sudah berakhir,” kata Iniesta ketika sidang akhbar di Barcelona hari ini.
“Saya tak boleh meninggalkan bola sepak, ia kehidupan saya dan terus dalam hidup saya. Sekarang saya perlu terus belajar dan kini dalam proses mendapatkan diploma kejurulatihan. Itu langkah seterusnya.”
“Saya akan cuba kembali dan melakukan tugas lebih besar tetapi bukan mengejar bola, sebaliknya dengan cara lain,” tambahnya lagi.
Iniesta mula meningkat naik menerusi akademi Barcelona La Masia dan tampil kali pertama dalam skuad utama pada 2002 pada usia 18 tahun.
Dia meraih sembilan gelaran La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara bersama Barcelona tetapi detik terbesar dalam kariernya apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Belanda dalam masa tambahan pada final Piala Dunia 2010.
Selepas meninggalkan Barcelona pada 2018, Iniesta menyertai kelab Jepun Vissel Kobe selama lima tahun sebelum beraksi untuk Emirates di UAE selama semusim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




