
ISTANBUL: Turkiye akan menghantar kapal untuk memindahkan kira-kira 2,000 rakyatnya dari Lubnan pada hari Rabu.
Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataannya berkata, dua buah kapal tentera laut Turkiye akan meninggalkan pelabuhan di wilayah Mersin di selatan Turkiye ke Beirut pada hari ini, Selasa.
Dianggarkan 14,000 warganegara Turkiye berdaftar dengan konsulatnya di Lubnan.
Sementara, pegawai Turkiye berkata, mereka telah merangka rancangan luar jangka untuk memindahkan rakyat mereka dari Lubnan kerana keadaan keselamatan yang semakin merosot di negara yang dilanda peperangan dengan negara pengganas Israel itu.
Pada minggu lalu, Kementerian Luar berkata, garis panduan untuk pemindahan warga negara ketiga melalui Turkiye juga telah ditentukan, sambil menambah bahawa persiapan yang diperlukan sedang dijalankan dengan kerjasama hampir 20 negara lain yang telah meminta sokongan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/10/2024








