Imam maut kemalangan selepas lawat isteri baru bersalin di hospital

Imam maut kemalangan selepas lawat isteri baru bersalin di hospital

am@hmetro.com.my

Manjung: Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar, Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain, 37, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan, di sini, hari ini.

Allahyarham juga adalah Guru Takmir Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar.

Difahamkan, isterinya baru sahaja melahirkan cahaya mata di Hospital Seri Manjung, semalam.

Kemalangan terbabit berlaku selepas mangsa melawat isterinya di hospital dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk menjemput anak yang lain di sekolah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.

“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi menyelamat yang disertai lapan anggota bomba itu ditamatkan jam 5.37 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top