hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) pada 1 Oktober lalu.
EAIC dalam kenyataan berkata, tindakan itu diambil selaras dengan Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
“Sitaan itu dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur.
“Sehubungan itu siasatan penuh sedang dijalankan ke atas aduan berkenaan, selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700],” katanya.
Sebelum ini, EAIC menjalankan siasatan ke atas beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terbabit sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Menurutnya, pihak EAIC sudah pun hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.
Terdahulu, sebuah portal berita, hari ini melaporkan beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terbabit dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.
Menurut laporan yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM itu, siasatan berkaitan sindiket berkenaan dijalankan EAIC.
Dilaporkan juga bahawa pihak EAIC sudah menyerbu pejabat JIM (bahagian visa) minggu lalu dan merampas beberapa dokumen untuk tujuan siasatan, manakala ada pegawai agensi berkenaan yang dipanggil untuk dirakam keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




