am@hmetro.com.my
Port Dickson: Seorang lelaki berusia 36 tahun akan dihadapkan ke mahkamah di sini, Khamis ini, atas pertuduhan melakukan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan terhadap seorang anak yatim berusia enam tahun.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata lelaki tersebut ditahan reman sejak 3 Oktober lalu dan akan didakwa 10 Oktober ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, pada 3 Oktober, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berhubung penemuan kanak-kanak lelaki dalam keadaan menangis, luka dan tidak berpakaian di sebuah rumah di Batu 4, di sini.
“Wanita itu mendakwa terdapat luka pada bahagian tubuh badan kanak-kanak itu.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut adalah anak yatim yang kematian bapa dan ditinggalkan oleh ibu kandung sejak kecil.
“Wanita tersebut menjaga kanak-kanak itu di Klang, Selangor sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata, sepanjang dalam tempoh jagaan wanita itu yang juga pengadu, mangsa dalam keadaan baik dan sentiasa berhubung melalui panggilan video dan telefon sehinggalah pada awal Oktober, kanak-kanak itu gagal dihubungi.
“Susulan itu, pengadu meminta anaknya pergi melihat mangsa di rumah tersebut sebelum menemukan kanak-kanak itu dalam keadaan cedera, menangis dan diletakkan di atas lantai tanpa berpakaian.
“Bertindak kepada aduan pada hari sama, jam 3 pagi, polis membuat tangkapan berasingan ke atas tiga lelaki di Taman Desa Rusa, Port Dickson dan Taman Dataran Segar Lukut.
“Semua suspek berumur lingkungan 32 hingga 36 tahun dan bekerja sebagai jurusolek berjaya ditahan dan mangsa yang berada di dalam bilik ketika itu berjaya diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan rekod lampau dapati kesemua suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif Methamphetamine. “Hasil siasatan awal, suspek memukul mangsa selepas mendakwa kanak-kanak itu degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah.
“Polis merampas senjata yang digunakan iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air dan kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pendakwaan Negeri Sembilan. Seorang akan didakwa manakala tiga lagi menjadi saksi pendakwaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




