Terbabit sindiket visa perubatan, EAIC siasat pegawai imigresen

Terbabit sindiket visa perubatan, EAIC siasat pegawai imigresen

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terbabit sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak EAIC sudah pun hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.

“Jabatan menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“Dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku,” katanya.

Tambah Zakaria, tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan.

“JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama jabatan.

“Iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani,” katanya.

Dalam pada itu, katanya orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku pegawai imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu, sebuah portal berita, hari ini melaporkan beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terbabit dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.

Menurut laporan yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM itu, siasatan berkaitan sindiket berkenaan dijalankan EAIC.

Dilaporkan juga bahawa pihak EAIC sudah menyerbu pejabat JIM (bahagian visa) minggu lalu dan merampas beberapa dokumen untuk tujuan siasatan, manakala ada pegawai agensi berkenaan yang dipanggil untuk dirakam keterangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top