zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kementerian Pengangkutan yakin pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer tidak akan terjejas walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka bermula bulan depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya yakin Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sudah melakukan persiapan rapi dan mengambil kira semua faktor dan risiko yang ada terutama di negeri-negeri Pantai Timur.
Beliau berkata, ia termasuk pembinaan landasan yang lebih tinggi terutama di kawasan yang berisiko bagi memastikan ia tak mudah terjejas akibat banjir.
“Semua sudah diambil kira (dan) saya yakin mereka telah membuat perancangan mereka dengan rapi (kerana) mereka tahu cuaca di Pantai Timur ini.
“MRL pun sudah ada pengalaman beberapa tahun, saya yakin mereka boleh membuat kerja mereka mengikut jadual,” katanya selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di sini hari ini.
Terdahulu, Anthony bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara EPIC dan MRL.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad, Ts Muhtar Suhaili dan CE0 MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Dalam pada itu, Loke berkata, jajaran projek ECRL yang merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 72.93 peratus setakat September lalu.
Beliau berkata, tahap kemajuan yang memberangsangkan itu adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026 manakala jajaran rel antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.
Katanya, pembinaan projekECRL di Terengganu juga lancar dan mencapai kemajuan sebanyak 87.4 peratus setakat September lalu sekali gus menjadikan negeri Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi dan mendahului di bawah projek mega ini.
“Jadi saya yakin bahawa dengan kemajuan ini, kita boleh mencapai kemajuan mengikut jadual kita menjelang 1 Januari 2027 (yang) perkhidmatan tren antara Kota Bharu ke Gombak perlu bermula,” katanya.
Monsun Timur Laut dijangka bermula pada bulan depan dan berterusan sehingga Mac 2025.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang dilaporkan berkata sepanjang tempoh itu, Malaysia diramal melalui empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




