am@hmetro.com.my
Gua Musang: Hasil risikan selama seminggu di jalan Kuala Betis yang juga menjadi jalan utama bagi mengangkut hasil balak, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akhirnya menjalankan ‘Op Timber’ pada hari ini.
Operasi itu yang dilaksanakan susulan laporan media pada bulan lalu yang meluahkan kebimbangan ibu bapa akan keselamatan anak mereka apabila lori balak turut menggunakan laluan di hadapan sekolah itu pada waktu puncak.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata dalam operasi itu pihaknya berjaya menahan sembilan lori balak dan seterusnya ditimbang di Stesen Penguatkuasaan JPJ Mentara (SPK Mentara).
Katanya, operasi yang dilakukan selama satu hari itu hasil Penguatkuasaan secara rondaan (POBC) dan risikan pihaknya selama satu minggu bermula 22 hingga 26 September lalu.
“Risikan selama seminggu pihak kami akhirnya membawa kepada operasi khas pada hari ini diberi nama ‘Op Timber’ yang diketuai oleh saya sendiri bersama 17 anggota.
“Hasil daripada operasi ini yang dilaksanakan sejak pagi tadi pihak kami berjaya menahan sembilan buah kenderaan iaitu tiga lori balak dan enam lori kargo yang membawa muatan kayu hutan untuk ditimbang di SPK Mentara.
“Hasil daripada operasi ini juga satu kenderaan di sita di bawah Seksyen 80 APAD 2010, membawa muatan 75.58 peratus. Kenderaan akan dibuat lucut hak di bawah akta yang sama,” katanya ketika ditemui di SPK Mentara, di sini, hari ini.
Menurut beliau lapan lagi kenderaan dikesan membawa lebihan muatan melebihi 35 peratus akan dituduh di mahkamah di bawah Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu media melaporkan lori mahupun treler membawa muatan balak diminta tidak menggunakan laluan hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, di sini, pada waktu puncak bermula 12 tengah hari pada waktu persekolahan.
Ini kerana ibu bapa mendakwa kehadiran kenderaan berat itu menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku kemalangan ketika mereka mengambil anak-anak dari sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




