am@hmetro.com.my
Kangar: Penduduk di Perlis kini bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir dengan hujan lebat akan bertembung dengan fenomena air pasar besar pertengahan bulan ini.
Ombak besar dijangka mencecah sehingga 3.7 meter bakal melanda pesisiran pantai di negeri itu pada 16 hingga 19 Oktober hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, negeri itu kini sedang bersiap sedia menghadapi gelombang berkenaan seandainya hujan lebat berterusan melanda negeri itu.
“Berdasarkan maklumat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) negeri, ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 3.7 meter pada tempoh itu.
“Sekiranya berlaku hujan lebat pada waktu itu, kita menjangkakan keadaan banjir mungkin akan lebih buruk berbanding pada pertembungan hujan lebat dan air pasang pada pertengahan September lalu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Negeri Perlis, di Kompleks Setiausaha kerajaan Negeri (SUK) Perlis, di sini hari ini.
Katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, semua agensi terbabit sudah diminta bergerak lebih awal berpandukan ramalan cuaca sebagai persiapan berdepan fenomena itu.
“Malah, kita di Sekretariat Pengurusan Bencana negeri juga memiliki 1,200 orang kekuatan untuk bantuan langsung terdiri daripada tentera, polis, anggota Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Dalam masa yang sama juga, terdapat 6,000 lagi kekuatan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




