mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Perasaan seronok kami lebih-lebih lagi, mengalahkan ibu bapanya,” kata pemain gitar, JoBranko, 55, yang sudah bergelar datuk selepas menimang cucu sulung, Layla Katelya Muhammad Adham yang kini berusia 11 bulan.
Layla Katelya adalah cahaya mata pertama anak sulung JoBranko iaitu Sarah Nisa yang berkahwin dengan Mohammad Adham tahun lalu.
JoBranko atau nama sebenarnya Abd Zamin Abdul Kadir berkata, dia dan isterinya, Rozalinda Gulam Rasul begitu teruja dengan kelahiran Layla Katelya.
“Dalam masa sama kita sedar kita dah tua. Layla Katelya lahir bulan November tahun lalu. Dia dilahirkan pra-matang di sebuah hospital di Melaka membuatkan saya terpaksa tinggal agak lama di sana.
“Ketika itu Sarah Nisa ikut suaminya buat kerja luar di Melaka. Jadi Layla Katelya dilahirkan dalam keadaan kecemasan. Dah ditakdirkan cucu saya jadi orang Melaka. Keadaan kesihatannya ketika itu menyebabkan dia ditahan di wad.
“Saya terpaksa tinggal di sana dalam tempoh tiga bulan. Alhamdulillah, keadaan cucu semakin hari semakin sihat,” katanya yang ditemui di majlis pelantikannya sebagai Duta Gibson Guitar Avenue by Music Bliss di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, pada 2 Oktober lalu.
Pada majlis itu, JoBranko dilihat tidak melepaskan peluang mendukung cucunya yang turut hadir bersama ibu dan bapanya.
Selain itu, JoBranko mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya kerana banyak mendoakan kesihatan dan kesembuhan cucunya.
“Kami dalam keadaan tak tidur malam. Maklumlah cucu pertama. Saya manjakan cucu tapi neneknya setiap hari melayan sampaikan saya nak cari pakaian pun kena cari sendiri.
“Tapi tak apalah cucu punya pasal, teruskanlah. Perasaan kami amat lain dengan adanya cucu. Seronok kerana anak kami semua dah besar. Yang bongsu pun dah 19 tahun. Kami seronok jalani hidup sekarang,” katanya.
JoBranko yang kini berada di Amerika Syarikat bagi sesi lawatan ke Gibson Garage di Nashville, Tennesse membayangkan untuk membawa cucunya ke sana jika berkesempatan melakukannya selepas ini.
“Insya-Allah kalau ada rezeki gitar terjual dengan baik mungkin saya sambung lagi kontrak dengan Gibson. Saya akan bawa sama Layla Katelya. Sekurang-kurangnya kalau saya dah tiada, dia dah besar dia akan bangga dengan datuknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




