Malam kemuncak Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 semakin hangat terasa selepas pengumuman senarai calon Top 5 bagi 16 kategori utama, hari ini.
Proses undian peringkat Top 20 bagi kategori utama bermula pada 22 Ogos 2024 hingga ditutup pada 11:59 malam 30 September 2024 yang dibuat secara percuma atau pakej langganan akhbar Berita Harian (BH) digital atau bercetak, serta melalui laman web rasmi ABPBH.
Pemilihan pemenang bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus undian juri profesional.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 yang diinspirasikan penaja utama, CONBOO akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma MBSA, Shah Alam, pada Jumaat, 11 Oktober 2024 jam 9 malam.
Menurut pengarah ABPBH 36, Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH, Shamsul Azlee Samsir berkata, senarai Top 5 ABPBH 36 yang diumum cukup ideal dan seimbang, mengambil kira kombinasi artis senior dan pelapis baharu yang bersaing dalam semua katagori.
“Apa yang jelas, undian diterima membuktikan kematangan peminat dalam meletakkan artis pujaan termasuk bintang senior pada tahap selayaknya. Kita mula melihat gelombang ini apabila artis senior, Bell Ngasri diumum Bintang Paling Popular pada ABPBH 35,” katanya.
Pada malam kemuncak ABPBH 36, sebanyak 16 kategori utama bakal dipertandingkan iaitu Aktor Pembantu TV Popular, Aktres Pembantu TV Popular, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Aktres Komedi Popular, Aktres Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Aktor Pembantu Filem Popular, Aktres Pembantu Filem Popular, Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular dan lain-lain.




