Los Angeles: Pemain bintang di Jelajah PGA, Rory McIlroy dan Scottie Scheffler akan berdepan pemain LIV Golf, Bryson DeChambeau dan Brooks Koepka pada acara pertunjukan di Las Vegas, Disember depan, umum penganjur, semalam.
Pertandingan membabitkan 18 lubang yang disiarkan di televisyen antara nama besar daripada Siri LIV yang didokong Arab Saudi serta Jelajah PGA itu akan diadakan di Shadow Creek.
Scheffler muncul juara Masters dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 (Paris 2024) serta enam lagi gelaran tahun ini, akan bergandingan dengan McIlroy yang muncul juara empat kejohanan utama.
Lawan mereka, DeChambeau adalah juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebanyak dua kali termasuk menumpaskan McIlroy pada kejohanan tahun ini, manakala Koepka menang lima kejohanan utama dan satu-satunya pemain menang gelaran utama yang masih aktif bersama LIV.
Penganjur Jelajah PGA dan LIV iaitu Saudi Arabian Public Investment Fund (PIF) pernah berunding tetapi gagal menggabungkan pemain golf elit dunia.
Ketika Terbuka Ireland bulan lalu, McIlroy berkata, usaha menyelesaikan rundingan tertangguh itu yang bakal memberikan lebih keseronokan kepada peminat golf terhalang selepas tiga musim berpisah.
“Saya tidak bermaksud memberikan satu isyarat atau pesanan. Saya jangka banyak lagi yang kami mahu lakukan dan sudah pasti peminat golf teruja,” kata McIlroy.
“Anda ada dua pemain terbaik di dunia. Anda ada Bryson dan Brooks yang menang kejohanan utama sejak dua tahun terakhir.
“Saya pun ada, walaupun saya tidak melakukan seperti mereka sejak beberapa tahun lalu, tetapi saya rasa sudah tentu sebagai antara pemain terbaik di dunia.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




