BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak lelaki yang mempunyai masalah pendengaran di kedua-dua belah telinga memerlukan dana sebanyak RM169,150 bagi menjalani pembedahan implan koklea.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Judah Jedidiah D’cruz, 3, yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu perlu menjalani prosedur tersebut supaya dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Jelas beliau, doktor mengesyorkan Judah menjalani prosedur itu dalam kadar segera susulan alat bantuan pendengaran yang dipakai selama setahun tidak memberi kesan kepada pendengarannya.
“Keluarganya mengesan dia tidak dapat mendengar semasa berusia setahun apabila tidak memberikan respons semasa ibunya menyanyi.
“Dia juga sekadar dapat membunyikan ‘ahh’ untuk berkomunikasi dan jika lapar, dia akan menggosok perut atau pergi ke meja makan.
“Justeru pembedahan impalan koklea menjadi harapan untuk Judah dapat mendengar, namun bantuan orang ramai diperlukan kerana keluarganya tidak mampu membiayai kos RM169,150,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sui Hau, bapa Judah, Jahaziel Josiah D’Cruz, 31, bekerja sebagai perunding di sebuah syarikat perunding pengurusan manakala isterinya seorang suri rumah sekali gus menyebabkan mereka tidak berkeupayaan membiayai implan koklea tersebut.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Public Bank Berhad 3201428817 (One Hope Charity & Welfare) atau hubungi talian 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette




