bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Dakwaan segelintir pihak kononnya pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memberi tekanan kewangan yang besar kepada peniaga kecil disifatkan tidak munasabah.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dakwaan kononnya peniaga kecil perlu membelanjakan sejumlah wang untuk menaik taraf kabinet pameran produk rokok adalah tidak tepat.
“Sejujurnya ia menyentuh imaginasi saya kerana apa yang perlu dibuat hanya memasang penutup kabinet pameran dan mematuhi peraturan yang ditetapkan (dalam Akta 852).
“Saya tak rasa untuk pasang penutup memakan kos sehingga RM6,000, mungkin sekitar beberapa ratus ringgit sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta 852.
Presidennya Hong Chee Meng dipetik mendakwa larangan itu dilaksanakan tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.
Dakwanya, langkah itu membebankan perniagaan kecil tanpa sebarang pertimbangan kerana anggaran menunjukkan bahawa setiap peruncit mungkin menanggung kos sehingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran.
Mengenai tempoh enam bulan penguatkuasaan Akta 852 membabitkan pameran produk yang dikatakan terlalu singkat, Dzulkefly berkata, tempoh itu adalah untuk penguatkuasaan bersifat pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




