am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membekukan dan menyita pelbagai harta milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang bernilai lebih RM19 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan terbabit dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) [Akta 613].
“Setakat ini, PDRM sudah melaksanakan pembekuan pelbagai harta mengikut Seksyen 44(1) Akta 613 berjumlah RM17,045,095.40.
“Manakala tindakan penyitaan pelbagai harta juga dilaksanakan mengikut Seksyen 45(2) Akta 613 berjumlah RM2,862,450,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, PDRM sudah mengenal pasti harta milik GISBH di 10 negara luar termasuk di Eropah dan Timur Tengah membabitkan nilai lebih RM52 juta.
Bagaimanapun, Shuhaily berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada sembilan lagi negara yang dipercayai mempunyai harta milik syarikat berkenaan bagi tindakan pembekuan dan penyitaan.
Katanya, maklumat diperoleh melalui kerjasama Interpol dan rakan serantau lain.
“Berdasarkan maklum balas diterima, kita sahkan tiga premis di satu negara sudah menghentikan operasi dengan papan tanda kedai juga sudah diturunkan. Malah pintu dan tingkap premis juga ditutup dengan plastik hitam.
“Namun kita belum dapat lagi maklumat berkaitan ahli mereka di negara berkenaan. Itu bagi siasatan berikutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




