Jenazah Ku Adib Aizad selamat dikebumikan

Jenazah Ku Adib Aizad selamat dikebumikan

hafidzul@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Jenazah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh sebuah Honda CRV berhampiran universiti itu, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam ‘Aliya, Saujana Utama kira-kira jam 6 petang.

Terdahulu kira-kira 1,000 kenalan, ahli keluarga dan penduduk setempat menyempurnakan solat jenazah di Masjid An-Nur.

Jenazah kemudian dibawa ke rumah ibu bapanya di Seri Pristana di sini.

Ku Adib Aizad adalah anak kepada Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid manakala bapanya Ku Azmi Saad adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Ketika nahas menimpa anak mereka, pasangan itu dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan sampai di Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).

Pasangan itu kemudian berpatah balik dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada jam 4.30 petang tadi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Dalam kemalangan pada jam 7.20 malam itu, tiga penuntut UiTM maut selepas dirempuh sebuah Honda CRV berhampiran kampus berkenaan.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.

Susulan kejadian itu, wanita dipercayai pesakit mental yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM itu direman empat hari.

Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman, selepas menerima permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV ketika kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top