Rom: Belgium bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan Itali yang bermain 10 orang di Rom, awal pagi tadi sekali gus menghidupkan semula harapan mereka untuk mara ke suku akhir Liga Negara-Negara.
Maxim De Cuyper dan Leandro Trossard menjaringkan gol untuk Belgium, yang berada di tempat ketiga, mengurangkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu Kumpulan A2, Itali, yang kehilangan pemain tengah, Lorenzo Pellegrini akibat dilayangkan kad merah tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.
“Ada kalanya perlawanan tidak ditentukan oleh apa yang pemain tunjukkan di atas padang.
“Kami tidak memberi banyak peluang kerana kami tidak begitu tertekan. Kami dihukum dalam situasi bola mati di mana mereka juga agak bernasib baik,” kata jurulatih Itali, Luciano Spalletti kepada RAI.
Itali mendahului dua gol sebelum Pellegrini dibuang padang kerana melakukan terjahan berbahaya ke atas Arthur Theate, yang menyebabkan De Cuyper merapatkan kedudukan pada minit ke-42 menerusi rembatan jarak jauh.
Andrea Cambiaso membuka jaringan dengan gol antarabangsa pertamanya dalam tempoh 61 saat, dan Mateo Retegui menjaringkan gol kedua tuan rumah pada pertengahan separuh masa pertama ketika Itali kelihatan yakin mampu meneruskan kebangkitan mereka selepas Euro 2024.
Sebaliknya, Belgium, tanpa Kevin De Bruyne yang cedera dan Romelu Lukaku, yang sedang berusaha untuk memulihkan tahap kecergasannya bersama Napoli, berjaya membawa pulang satu mata.
Pasukan bimbingan Domenico Tedesco terkejut apabila cabaran keras Alessandro Bastoni ke atas Lois Openda tidak dihukum dengan penalti, yang sepatutnya boleh mengubah sepenuhnya situasi perlawanan itu.
“Anda tidak boleh melihat satu insiden dan kemudian menilai pengadil. Ia bukan perlawanan yang mudah untuk diadili.
“Kad merah itu mengubah perlawanan untuk kami…pemain lawan memang layak dibuang padang dan ia juga membantu kami,” kata Tedesco kepada RAI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




