zanariah_mutalib@bh.com.my
Vientiane: Malaysia menggesa pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2735 (2024) yang menggariskan tiga fasa untuk merealisasikan keamanan di Gaza disegerakan tanpa syarat tambahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersama masyarakat antarabangsa mendesak supaya gencatan senjata dilakukan segera bagi mencegah bencana kemanusiaan terus memburuk di Gaza dan Lubnan.
“Adalah penting bagi semua pihak untuk tidak memburukkan lagi keadaan yang sudah tegang di wilayah berkenaan,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Ke-12 di sini, hari ini.
Semalam, pada pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, Perdana Menteri turut menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735.
Resolusi itu menggariskan cadangan tiga fasa oleh AS, yang menggesa kepada gencatan senjata segera, kekal dan berkesan.
Ia termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, selain menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula wilayah itu.
Selain itu, Perdana Menteri menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan ASEAN dan AS dalam menangani isu tertunggak, yang dapat membuka jalan bagi AS untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Pada masa sama, Malaysia menyeru kerjasama dalam program pembangunan kapasiti bagi memperkukuh modal insan, teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan pembangunan bandar yang mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




