Taktik penyeludup gerak berkumpulan, isi petrol asing-asing

Taktik penyeludup gerak berkumpulan, isi petrol asing-asing

am@hmetro.com.my

Tumpat: Bergerak dalam kumpulan untuk mengisi petrol di stesen minyak berdekatan, sebelum memandu kenderaan masing-masing menuju ke pangkalan haram di sempadan.

Taktik penyelewengan petrol yang dinamakan kaedah mega itu dilakukan antara empat hingga lima kenderaan penyeludup dan biasanya aktif pada waktu pagi, ketika orang ramai sibuk untuk ke tempat kerja dan ke sekolah.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, setiap kenderaan yang dipandu penyeludup itu akan dipenuhi tong plastik mengandungi petrol yang diisi di stesen minyak sekitar Tumpat secara berulang.

“Penyeludup ini bergerak dalam kumpulan tapi isi minyak secara berasingan sebelum melalui jalan pintas yang tidak perlu melepasi pos kawalan untuk ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor.

“Mereka bergerak pada 7 atau 7.30 pagi, di saat orang ramai sibuk di jalan raya untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, tong plastik yang dibawa akan diisi penuh dengan petrol yang boleh mencecah hingga 1,000 liter.

Dalam penguatkuasaan terbaharu, semalam katanya, sebanyak 1,650 liter petrol disita dengan nilai RM3,382.50 menerusi dua rampasan di Kampung Geting dan Jalan Kesban, Pengkalan Kubor.

“Rampasan dibuat menerusi operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, dan turut menyita dua kenderaan jenis Proton Wira Aeroback serta Proton Gen2,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kenderaan sempat melarikan diri dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top