ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Calon Timbalan Presiden Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Azril Mat Drus mahu menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu badan induk berkenaan sehingga memberi impak kepada skuad Kuala Lumpur (KL) City FC.
Menurutnya, untuk memimpin sesebuah organisasi perlu ada strategi bagaimana untuk menjana pendapatan terutama kepada KLFA mahupun KL City.
“Kita mahu pendapatan berpanjangan dan mapan, bukan hanya sekali sahaja. Kita perlu ada strategi dan saya mempunyai latar belakang pemasaran yang boleh membantu KLFA, selain pengalaman di beberapa syarikat, di mana semuanya berjaya. KLFA mempunyai potensi tetapi masalahnya tidak tahu cara yang mampu diguna pakai sebaik mungkin,” katanya.
Ujar Azril, memang tidak patutnya KLFA berdepan masalah kewangan, terutama dengan status sebagai ibu negara dan potensi yang terdapat di Lembah Klang.
“Ramai orang berada ‘di atas’ Kuala Lumpur semuanya mempunyai jaringan. Cuma cara memasarkan jenama Kuala Lumpur ini perlu betul sebagai contoh penjualan cenderamata haruslah lebih menarik dan berada di tempat strategik, bukannya hanya dalam talian dan di stadium. Perlu diletakkan di KLCC, Pavilion, AEON, barulah ada orang mahu beli termasuk pelancong.
“Kita nampak perkara ini kecil tetapi itulah sumber pendapatan kelab seperti Manchester United selain penajaan. Orang berniaga mempunyai latar belakang korporat sudah tentu ada prosedur operasi standard (SOP) kena ikut,” katanya.
Tambah Azril, pengurusan KLFA perlu ada penyusunan semula dan melakukan kajian lebih mendalam terhadap operasinya.
“Kena kaji balik susunan, semak apa perkara yang betul dan tidak betul. Kita betulkan untuk kebaikan, saya pun tidak boleh cakap banyak kerana ‘belum masuk’ ke dalam persatuan. Mesti ada masalah dalam pengurusan KLFA sebelum ini, kalau ada cari mana silap dan betulkan.
“Kalau perlu rombakan ia perlu dilakukan dengan betul, siasat secara adil dan bersihkan. Jadi saya perlu ‘masuk’ dahulu dan kaji. Paling ketara adalah pengurusan kewangan, kena belanja ikut kemampuan. Memang mampu menjana pendapatan tetapi dalam masa sama perlu ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Azril bakal berdepan dengan pertembungan empat penjuru untuk jawatan Timbalan Presiden apabila tiga lagi calon lain ialah Datuk Afdlin Shauki Aksan, Datuk Kamaruddin Hassan dan Datuk Seri Wong Yeon Chai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




