BERLIN: Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Khamis memaklumkan negaranya akan membekalkan lebih banyak senjata kepada Israel tidak lama lagi selepas penurunan ketara tahun ini, yang mendorong tuduhan pembangkang bahawa beliau sengaja menangguhkan pembekalan senjata tersebut.
“Kami belum memutuskan untuk tidak membekalkan senjata. Kami telah membekalkan senjata dan kami akan membekalkan senjata.
“Kerajaan telah membuat keputusan yang juga memastikan bahawa akan ada penghantaran selanjutnya tidak lama lagi,” katanya kepada parlimen dalam usahanya menentang tuduhan ketua pembangkang, Friedrich Merz.
Sementara itu, Merz yang merupakan ketua pembangkang konservatif Jerman menuduh kerajaan Scholz menangguhkan eksport senjata ke Israel, termasuk peluru dan alat ganti kereta kebal, lapor Al Arabiya.
“Selama berminggu-minggu dan berbulan-bulan, kerajaan persekutuan enggan memberikan permit eksport untuk peluru dan juga alat ganti untuk kereta kebal.
“Kami mengetahui beberapa kes tertentu di mana kerajaan telah menahan kelulusan untuk peralatan dan bahan yang diperlukan segera oleh Israel untuk mempertahankan dirinya,” katanya dalam sidang parlimen yang sama.
Menurut data yang diberikan oleh Kementerian Ekonomi negara itu, kelulusan Jerman untuk eksport senjata ke Israel merosot secara mendadak tahun ini, dengan hanya €14.5 juta (RM68 juta) diberikan dari Januari hingga 21 Ogos.
Pada 2023, Jerman meluluskan eksport senjata ke Israel bernilai €326.5 juta (RM1.5 bilion) termasuk peralatan ketenteraan dan senjata perang, peningkatan 10 kali ganda daripada 2022 mengikut data daripada kementerian yang meluluskan lesen eksport negara berkenaan.
Mengulas mengenai kejatuhan itu, kerajaan Jerman berkata tidak ada boikot eksport senjata ke atas Israel, dan permit eksport dikeluarkan kes demi kes selepas semakan teliti, dengan mengambil kira undang-undang antarabangsa, dasar luar dan pertimbangan keselamatan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/10/2024









