mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Cheras ditahan disyaki terbabit kes pemerasan dan cabuls, emalam.
Turut ditahan, tiga lelaki bagi membantu siasatan kejadian yang didakwa berlaku di kondominium di Cheras.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 7 Oktober lalu mendakwa diperas ugut menyerahkan wang dan dicabul.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 1 Oktober lalu dan sebaik menerima laporan polis daripada mangsa, tiga lelaki ditahan sebelum direman tiga hari dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Susulan itu, kita menahan tujuh orang terdiri seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota termasuk seorang anggota wanita, semalam, berusia 30 hingga 50an.
“Mereka direman tiga hari bermula hari ini hingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya pada program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Rusdi berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam isu ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Setakat ini belum ada rampasan dilakukan dan kita sedang siasat dakwaan wang yang dibayar melalui pemindahan secara dalam talian,” katanya
Beliau berkata, pihak juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
“Laporan dibuat lewat jadi siasatan perlu dijalankan dengan teliti mengapa pengadu lapor lewat,” katanya.
Terdahulu, tular di Telegram dakwaan seorang wanita menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di kondominium di Cheras.
Wanita terbabit didakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah di dalam pemilikan mangsa.
Wanita terbabit bagaimanapun dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki membuat pembayaran sebanyak RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




