nurul.hidayah@hmetro.com.my
Hulu Langat: Dua kali dilanda banjir kilat dalam tempoh beberapa hari. Itu nasib menimpa penduduk di Batu 11 1/2 Sungai Serai, di sini, yang ditimpa bencana alam berkenaan, hari ini.
Penduduk Kampung Sungai Serai, Norsila Zulkamal, 53, berkata, air mula naik di kawasan berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.
“Hujan sekejap sahaja tetapi air mula naik dari dua arah menyebabkan kawasan ini dilanda banjir kilat.
“Tambah menyulitkan keadaan apabila air bertakung di kawasan projek berhampiran menyebabkan laluan di lokasi terbabit tidak dapat dilalui kenderaan.
“Ketika ini, trak polis digunakan untuk mengambil murid memandangkan laluan itu tidak dapat dilalui kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norsila berkata, dia dan ahli keluarga sudah bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai.
“Meskipun air mulai surut tetapi rumah saya masih dinaiki air dan saya sekeluarga sudah bersedia untuk berpindah ke PPS.
“Dalam tempoh beberapa hari ini, sudah dua kali kampung ini dilanda banjir kilat iaitu pada malam Jumaat lalu sebelum surut pada pagi Sabtu lalu.
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan laluan di kawasan sekitar Kampung Sungai Serai dinaiki air yang menyebabkan kenderaan terkandas, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




