khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerima program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menyifatkan bantuan yang diterima dapat meringankan beban bulanan yang ditanggung mereka.
Salah seorang keluarga penerima SARA, Suffi Mazatulnizam, 25, berkata, dengan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, dia sekeluarga dapat membeli barang keperluan dapur pada pertengahan bulan atau pada waktu tidak terduga.
“Dengan bantuan SARA ini, ia membantu saya sekeluarga untuk berjimat. Antara barang-barang yang dapat saya beli adalah seperti telur, sos, kicap, biskut dan susu untuk anak saya.
“Malah, untuk sesi persekolahan tahun depan, bolehlah saya membeli kelengkapan yang secukupnya untuk anak saya,” katanya kepada Harian Metro.
Kerajaan sebelum ini telah menambah baik SARA bermula 22 Januari lalu dengan peruntukan RM700 juta iaitu lonjakan lebih lima kali ganda berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lalu yang diagihkan secara berperingkat, dengan pelbagai penambahbaikan lain termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.
Peruntukan yang lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, berbanding 210,000 pada tahun lalu.
Antara penambahbaikan lain SARA yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 termasuk memperluas penerima yang layak merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding pada 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.
Selain itu, kadar bantuan SARA turut ditingkatkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023 serta penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Bagi penerima program di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan bagi isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM50 sebulan kepada yang bujang.
Selain itu, bantuan SARA kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Mengulas lanjut, Suffi yang tinggal di Seremban turut menyifatkan bantuan SARA amat memudahkan penerima untuk membeli barang keperluan di mana-mana pasar raya.
“Ia memudahkan saya kalau tak bawa kad atau telefon bimbit. Dengan bawa kad pengenalan sahaja, kita boleh pergi beli barang di mana-mana pasar raya berdekatan,” katanya.
Selain itu katanya, sekiranya seseorang itu lupa baki jumlah bantuan yang telah dibelanjakan, ia boleh disemak melalui dalam talian.
Penerima SARA, Nur Izzatul Nuha Zainal Abidin, 24, pula menyifatkan bantuan yang diterimanya pada bulan lalu dilihat membantu terutamanya sewaktu kecemasan.
“Saya juga dapat membantu keluarga untuk menambah barang keperluan yang dibeli.
“Tempoh hari saya dapat beli beras lima kilogram (kg), biskut dan ubat gigi di saat beberapa barangan di rumah semakin berkurangan,” katanya yang tinggal di PPR Kampung Baru Air Panas.
Seorang lagi penerima, Nurul Syasya Izwani Mohd Rizal, 24, berkata, bantuan SARA diperoleh membolehkannya membeli barang kelengkapan yang telah berkurang di rumahnya terutamanya sewaktu hujung bulan.
“Bila ada SARA ini, ia dapat membantu serba sedikit dengan membeli barang seperti beras atau telur,” katanya.
Dia yang tinggal di Rawang turut berharap pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober nanti, kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah jumlah bantuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



