Sistem MyMajikan mudahkan syarikat urus bayaran zakat kakitangan

Sistem MyMajikan mudahkan syarikat urus bayaran zakat kakitangan

am@hmeto.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Sistem MyMajikan bagi memudahkan majikan menguruskan pembayaran zakat melalui potongan gaji secara bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, sistem ini diperkenalkan bagi menggantikan sistem e-FEM, yang digunakan sebelum ini.

“Sama seperti e-FEM, objektif sistem MyMajikan adalah memudahkan majikan menguruskan pembayaran zakat kakitangan melalui potongan gaji secara secara bulanan.

“Ia juga menyediakan ciri-ciri lebih mesra pengguna. Jika sebelum itu bayaran zakat kakitangan hanya boleh dilakukan secara manual.

“Namun, menerusi sistem terbaru ini, majikan boleh membuat bayaran secara dalam talian dan terus mendapat resit bayaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Majikan Terbaik sempena Majlis Mesra Majikan 2024 di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, majikan juga boleh memantau status bayaran dan menyemak semula rekod bayaran untuk mengelakkan berlakunya keciciran bulan potongan zakat kakitangan.

Sementara itu, seramai 20 majikan terpilih menerima anugerah berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada pihak majikan kerana memberikan kerjasama menguruskan bayaran potongan zakat.

Katanya, terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan majikan seperti membuat bayaran potongan zakat kakitangan pada bulan semasa.

“Kedua, terdapat peningkatan jumlah kutipan tahunan zakat melalui potongan zakat bulanan berbanding tahun sebelum.

“Ketiga, majikan yang berjaya meningkatkan bilangan pembayar zakat melalui potongan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan Muslim serta melayakkan majikan untuk mendapatkan wakalah sebanyak 37.5 peratus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top