mhafis@mediaprima.com.my
Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan kail mengail Kelas C kerana melakukan aktiviti mencandat sotong kurang 12 batu nautika dari daratan mengikut Akta Perikanan 1985, semalam.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan Op Makmur mengesan sebuah vesel nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang bersauh pada kedudukan 7.6 batu nautika dari Pulau Tioman.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh tujuh kru warga Vietnam termasuk tekong berusia antara 33 hingga 56 tahun.
“Kesemua tekong dan kru memiliki pasport dan dokumen sah. Vesel dan kesemua kru termasuk tekong ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan mencandat serta hasil sotong segar yang dianggarkan sebanyak 200 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika bagi bot Zon C,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim terutamanya nelayan di perairan Pahang supaya menjauhi sebarang aktiviti jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




