Ketua Polis Negara Arah Pantau Pegawai Dan Anggota Polis Yang Hidup Mewah Melebihi Kemampuan | Oh! Media

Ketua Polis Negara Arah Pantau Pegawai Dan Anggota Polis Yang Hidup Mewah Melebihi Kemampuan | Oh! Media

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengarahkan agar pemantauan rapat dilakukan terhadap pegawai dan anggota polis yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan mereka.

Menerusi laporan Berita Harian, beliau juga menggesa agar ujian saringan urin dilakukan secara berkala untuk memastikan semua anggota polis bebas daripada dadah.

Langkah-langkah ini diambil susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes salah laku jenayah, dadah, dan isu disiplin dalam kalangan pegawai polis.

Saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku sehingga memberi imej buruk kepada pasukan.

Beliau turut menzahirkan kekecewaannya terhadap kes terbaharu melibatkan seorang Asisten Superintendan dan enam pegawai rendah polis yang ditahan kerana terbabit dalam kes pemerasan dan pencabulan ke atas seorang wanita dalam siasatan kes narkotik.

Jadi, semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku ini.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi Oktober 2024, Razarudin menekankan kepentingan penyeliaan ketat oleh kepimpinan di semua peringkat. Beliau mengingatkan bahawa tindakan harus diambil ke atas pegawai yang melanggar peraturan atau disiplin.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan mengesan salah laku pegawai polis.

Tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya mereka terbabit dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, mahu pun lain-lain kesalahan berkaitan.

Kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan pastikan tidak berulang lagi.

Tambahnya lagi, arahan dan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa perlu diamati, dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa diperingatkan kepada semua.


Scroll to Top