Madrid: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, penyerang Perancis, Kylian Mbappe, ‘nampaknya tidak terjejas’ selepas media Sweden melaporkan bahawa dia sedang disiasat atas dakwaan rogol semasa lawatannya ke Stockholm.
Peguam Mbappe memberitahu AFP minggu ini bahawa kapten Perancis itu ‘terkejut’ melihat namanya dikaitkan dengan siasatan berkenaan dan akan mengambil tindakan undang-undang kerana memfitnah.
Penyerang itu tidak disenaraikan oleh Perancis untuk perlawanan Liga Negara-Negara selepas mengalami kecederaan dan melawat ibu kota Sweden dengan sekumpulan orang lain minggu lalu.
“Pada masa ini (laporan berkenaan) adalah spekulasi, saya melihat dia bekerja setiap hari, dia gembira, puas, dan nampaknya tidak terjejas sama sekali,” kata Ancelotti.
“Dia tidak sabar untuk terus membantu pasukan.”
Ancelotti berkata, Mbappe, 25, diberikan cuti oleh juara Sepanyol dan Eropah itu.
“Cuti itu ditetapkan untuknya dan di luar itu, individu boleh memilih apa yang mereka mahu lakukan,” jelas Ancelotti.
“Saya tidak peduli di mana pemain lebih suka berehat. Saya pergi ke London selama beberapa hari dan tidak bertanya kepada sesiapa pun.
“Saya juga tidak mempunyai agensi pelancongan untuk mengatur perjalanan bagi pemain.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




