Baitulmaqdis: Israel mengesahkan Mahmoud Hamdan, pengawal peribadi kepada pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, dibunuh oleh tenteranya di selatan Gaza, pada Jumaat.
Mahmoud dibunuh berhampiran tempat Yahya meninggal dunia, dua hari sebelumnya.
“Hari ini (Jumaat), Mahmoud Hamdan dibunuh oleh Pasukan Pertahan Israel (IDF) ketika pertempuran dengan tentera IDF, kira-kira 200 meter dari tempat Yahya terbunuh,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Mahmoud bertanggungjawab mengawal Yahya dan juga komander Batalion Tal al-Sultan Hamas.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas tentera Israel mengesahkan membunuh Yahya ketika pertempuran di Rafah, selatan Gaza pada Rabu.
Israel sudah lama menuduh Yahya mendalangi serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Israel terus melancarkan serangan ganas di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata serta-merta.
Lebih 42,000 orang terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 97,700 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan besar-besaran oleh Israel menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal, di tengah-tengah sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya di Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd



