Cubaan bersembunyi di Dannok gagal

Cubaan bersembunyi di Dannok gagal

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki yang terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand gagal apabila berjaya ditahan Isnin lalu.

Ia susulan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Thailand yang berjaya mengesan suspek berusia 32 tahun bersembunyi di sebuah hotel.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Risikan Sempadan (URS) Zon Utara menerima maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkaitan suspek terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

Menurutnya, hasil semakan dan risikan mendapati suspek masuk ke Thailand pada jam 6.42 pagi, 11 Oktober lalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Suspek masuk dengan menaiki Perodua Myvi warna kelabu dengan seorang lelaki dan wanita di mana hasil risikan lelaki itu menginap di sebuah hotel di Dannok.

“Maklumat yang diperolehi kemudian disalurkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menahan dan mengusir suspek keluar dari negara itu berdasarkan rekod orang dikehendaki ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Razarudin berkata, hasil kerjasama URS Zon Utara dan pihak berkuasa Thailand, pada jam 6.30 petang Isnin lalu, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di pekan Dannok.

“Suspek kemudian diusir keluar ke Malaysia selepas selesai dokumentasi oleh pihak berkuasa Thailand.

“Pasukan Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam kemudian menahan dan menangkap suspek di pintu sempadan ICQS sebelum ditahan di balai sementara menunggu Pasukan JSJ IPK Selangor sampai untuk tindakan lanjut,” katanya.

lelaki, 324 Kanun Keseksaan, lari, Thailand

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top