Air pasang besar: 'Kami sempat alih barang'

Air pasang besar: 'Kami sempat alih barang'

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Kami sempat alihkan barangan untuk elak ditenggelami air,” kata pekerja kedai makan asam pedas, Shahira Norisa Hairudin, 20, susulan beberapa kawasan dekat Sungai Ayam di sini, ditenggelami air ekoran air pasang besar.

Air pasang setinggi 3.3 meter berlaku selama dua jam menyebabkan kira-kira 60 rumah serta kedai makan ditenggelami air selain jalan tidak boleh dilalui kepada semua kenderaan.

Menurutnya, sebelum fenomena ini berlaku, dia bersama beberapa pekerja lain sudah bersiap sedia mengalihkan barang memasak serta menaikkan peralatan elektik ke tempat tinggi.

“Air mula naik sekitar 9.45 pagi dengan kemuncaknya (bertahan) pada 11.15 pagi, jadi kami tak panik sangat kerana semua barang sudah diselamatkan.

“Perniagaan berjalan macam biasa kerana air akan surut dalam tempoh dua hingga tiga jam. Lagi pun kita dah boleh tahu bila air pasang berlaku sebab itulah kita lakukan sepantas mungkin kerana fenomena ini pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

Bagi Amelia Jamsudin, 24, kejadian air pasang ini agak besar dan ia seperti berlaku tahun sebelum ini.

“Ada beberapa tahun lalu air pasang besar berlaku hingga memasuki rumah terletak di tepi kedai. Rumah itu agak tinggi tapi air boleh masuk dalam rumah dan merosakkan barangan elektrik,”

Dalam pada itu, Ketua Kampung Sungai Ayam, Hamidi Nahar, 55, memberitahu generator turut disediakan untuk mengepam ari sekali gus mengelak risiko lebih besar.

Katanya, terdapat 80 rumah dengan kira-kira 400 penduduk di kampung terbabit dengan mereka sudah dimaklumkan lebih awal agar bersiap sedia.

“Kami di sini bersyukur kerana tidak berlaku hujan dan cuaca baik, jika tidak ada beberapa tempat ditenggelami air kerana bertembung dan sistem perparitan akan penuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top