am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Dua kanak-kanak lelaki diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah selepas dihanyutkan air pasang dalam kejadian di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi ketika kedua-dua mangsa berusia 12 tahun itu sedang bermandi-manda di pantai itu dan difahamkan mereka datang bersama beberapa rakan dan seorang guru.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Md Shah berkata, kejadian disedari empat anggota APM yang bertugas sebagai penyelamat pantai ketika melakukan rondaan di pantai peranginan itu.
Katanya, mereka terdiri daripada Lans Koperal (PA) Mohd Fitri Abdul Hanif, Lans Koperal (PA) Muhammad Shahril Hizhar Anuawi serta prebet (PA) Muhammad Shahrohfie Abd Rahman dan Khairulzaman Ramlee.
“Sebaik melihat dua kanak-kanak dalam keadaan lemas terkapai-kapai dihanyutkan air pasang, anggota bertugas terus melakukan penyelamatan.
“Kedua-dua mangsa berjaya dinaikkan ke pantai dan mengalami muntah akibat tertelan air laut selain tubuh lemah.
“Petugas memberikan rawatan awal sebelum menghubungi waris mangsa untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi di sini.
Sharulnizam berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Kuala Sungai Baru di sini kemudiannya diserahkan kepada guru terbabit dan dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihati pengunjung pantai Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak supaya berhati-hati dan mengikuti arahan daripada petugas penyelamat pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



