Beirut: Hizbullah berkata, ia melancarkan roket secara serentak ke utara Israel, termasuk di pangkalan tentera berhampiran bandar Haifa pada Sabtu, selepas tentera Israel melaporkan serangan projektil bertubi-tubi yang dilancarkan dari Lubnan.
‘Gelombang’ roket melanda pangkalan tentera di timur Haifa, kata Hizbullah, yang berikrar untuk memperhebatkan serangan ke atas Israel beberapa minggu ke dalam perang habis-habisan yang meletus pada 23 September.
Kumpulan yang disokong Iran itu juga berkata, ia melepaskan ‘gelombang’ roket ke atas bandar utara Safed, selepas tentera Israel melaporkan 115 projektil yang dilancarkan dari Lubnan menyasarkan negara itu pada Sabtu.
Projektil itu dilepaskan terutamanya ke utara Israel, dengan siren berbunyi di seluruh rantau itu pada selang masa yang tetap.
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, seorang lelaki maut terkena serpihan berhampiran bandar pelabuhan Acre.
Lima orang cedera di Kiryat Ata, di daerah Haifa, kebanyakannya akibat kecederaan serpihan, kata jurucakap penyedia perkhidmatan kecemasan Magen David Adom.
Petang Sabtu, Hizbullah berkata, ia menyerang Kiryat Ata “sebagai tindak balas kepada sasaran orang awam… terutamanya pembunuhan beramai-ramai Nabatiyeh” – sebuah bandar dan daerah di selatan Lubnan di mana serangan hebat Israel awal minggu ini membunuh 25 orang.
Kumpulan itu juga mendedikasikan serangan itu kepada pemimpinnya, Hassan Nasrallah, yang meninggal dunia dalam serangan besar-besaran Israel pada 27 September di kubu selatan Beirut.
Video AFP menunjukkan sebuah roket merosakkan bangunan tiga tingkat dan memusnahkan kereta di Kiryat Ata, dengan pasukan pemadam kebakaran dan ambulans dihantar ke kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




