Kuala Lumpur: Berita kehilangan bekas Gabenor Bank Negara Allahyarham, Tan Sri Ahmad Mohd Don yang meninggal dunia pada 17 September lalu memberi kesan tersendiri.
Allahyarham Ahmad disifatkan antara individu yang banyak berjasa terutama kepada institusi kewangan Malaysia dilaporkan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Jalan Tengah, Stulang Bahru.
Berita pemergian beliau juga turut memberi kesan terhadap Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Anwar Ibrahim yang turut menzahirkan rasa takziah menerusi hantaran di laman facebook rasmi miliknya.
Ia turut mendapat perhatian dari pelbagai agensi dan jabatan yang memberikan ucapan takziah diatas pemergian allahyarham.
Ia termasuklah dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di halaman Facebook mereka.
“Jasa dan sumbangan beliau dalam industri perbankan negara dari tahun 1994 hingga 1998 akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Dan pastinya sumbangan Almarhum kepada asnaf melalui bayaran zakat di PPZ-MAIWP sejak tahun 1995 lagi,” memetik halaman PPZ- MAIWP.
Menerusi kenyataan media, Allahyarham Tan Sri Ahmad Don meninggal dunia pada usia 77 tahun dan kisah perjalanan pemergiannya turut dikongsikan oleh isterinya Puan Sri Hamidah Mohamed.
“Bermula pada penghujung November 2023, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan di tahan selama dua minggu serta diintubasi.
“Selepas itu Allahyarham turut ditahan lagi untuk beberapa minggu akibat penyakit yang dihidapinya, dengan situasi yang dilaluinya dalam beberapa minggu itu.
“Antara lain ia menyebabkan Allahyarham mengalami trauma dan mengambil keputusan tidak akan ke hospital lagi serta menolak untuk membuat “tapak” bagi menjalani proses dialisis seperti yang disarankan oleh doktor,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham bagaimanapun hanya dapat bertahan sehingga Mei lalu dan ditahan semula di sebuah pusat perubatan dekat Petaling Jaya.
“Namun, kali ini Allahyarham bersetuju untuk menjalani proses membuat “tapak” dialisis seterusnya menjalani rawatan tersebut bermula dengan tiga kali dalam satu minggu sehinggalah dinaikkan kepada empat kali seminggu.
“Puan Sri Hamidah sekeluarga juga merakamkan terima kasih kepada kumpulan doktor yang bertungkus lumus menjaga dan merawat Allahyarham semasa hayatnya iaitu Nephrologist Dr Thiruventhiran dan Dr Azreen, Cardiologist Dr Datuk Anuar Marzuki dan Dr Mohd Kamal, Geriatrician Dr Edward dan Dermatologist Dr Sharifah Rosniza,” menurut kenyataan media itu lagi.
Dalam minggu terakhir dan atas dasar tanggungjawab yang digalas, Allahyarham yang masih berada di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) membuat satu permintaan.
“Permintaan itu ditujukan kepada pihak peguam, kakitangan bank dan juga kakitangan ASB untuk berjumpa dengannya bagi menyelesaikan semua urusan tertangguh dan belum selesai.
“Selepas 16 hari berada dalam unit HDU, akhirnya doktor yang merawat Allahyarham memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan lagi alat sokongan perubatan lagi.”
Dalam masa sama, Puan Sri Hamidah mengambil keputusan untuk mengajak Allahyarham untuk pulang ke rumahnya di Johor Bahru.
“Allahyarham bersetuju serta membuat keputusan yang sama. Pada 16 September lalu sekitar jam 11.30 malam pihak Ambulan dan keluarga sampai di rumahnya di Johor Bahru. Pihak kumpulan paramedik mengambil masa kira-kira satu jam menguruskan penyediaan dan ketibaannya di rumah.
“Walau bagaimanapun, Tuhan lebih menyayangi Allahyarham dan sekitar jam 1.50 pagi pada 17 September. Dilaporkan, ketika itu Puan Sri Hamidah sedang menunaikan solat telah dimaklumkan oleh anaknya tentang pemergian Allahyarham.
“Menurut Puan Sri Hamidah lagi, Allahyarham sempat lagi meminta kesemua anak dan cucunya berkumpul dan mengambil gambar bersama pada minggu terakhir hayat Allahyarham,” kata kenyataan media itu. Keesokan harinya, Allahyarham selamat dimandikan di Surau Darussalam Stulang Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga pada jam 10.30 pagi.
“Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak dan yang paling terkesan adalah anak bongsunya Nurul Izzah Ahmad, 18 yang menuntut di Sunway College AUSMAT (Australia) yang disifatkan terlalu rapat dengan allahyarham.
Difahamkan, Allahyarham pun sudah merancang dan membuat persiapan dari awal menghantar Nurul Izzah melanjutkan pengajian ke University of Queensland tahun depan untuk jurusan Bachelor of Business.
“Sebelum dimasukkan ke ICU sekitar November hingga Disember 2023, Allahyarham sendirilah yang memandu menghantar anak kesayangan bongsunya ke sekolah semenjak dari tadika lagi sehingga tamat IGCSE,” menurut kenyataan itu lagi.
Tan Sri Ahmad memiliki pengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan. Allahyarham bermula dengan meraih kelulusan dalam pendidikan Ijazah Ekonomi dengan Kepujian daripada Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom pada tahun 1969.
Allahyarham adalah ahli Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah. Menerusi pengalaman tersebut, beliau dilantik sebagai gabenor bank Negara kelima dari Mei 1994 hingga Ogos 1998 selain pernah menyandang jawatan selaku Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari tahun 1991 hingga tahun 1994.
Seterusnya, meluaskan lagi kepakaran dengan memikul peranan penting selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd pada tahun 2017 sehingga tahun ini.
Walaupun nama beliau kian dilupakan oleh generasi masa kini, tetapi jasa dan sumbangannya menerajui tampuk kepimpinan bank Negara Malaysia selain pembangunan institusi kewangan di negara yang membawa nama Malaysia ke serata dunia sentiasa dalam kenangan malah amat dibanggakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




