Pei Kee-Mei Xing raih gelaran sulung

Pei Kee-Mei Xing raih gelaran sulung

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing melakukan kejutan untuk muncul juara selepas menewaskan pilihan pertama dari Taiwan, Nicole Chan-Yang Chu Yun pada aksi final Malaysia Super 100, hari ini.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, ia bukan perlawanan yang mudah buat wakil negara apabila perlu melakukan kebangkitan dramatik di penghujung set pertama sebelum menang perlawanan itu dengan straight set, 22-20, 21-11 dalam masa 42 minit.

Bagi Mei Xing, dia sangat terharu dengan kejayaan itu dan membuktikan bahawa memang layak berada di pentas final apabila menampilkan aksi yang cemerlang, sekali gus bergelar juara pertama kali dalam karier mereka.

“Kami berikan yang terbaik dan kami tukar strategi di set kedua dengan melakukan lebih banyak pukulan jauh untuk melawan arah angin.

“Memang nasib kami dapat mara ke final jadi kami tidak mahu lepaskan peluang untuk dapatkan kejuaraan. Sebelum ini kami sangat kecewa kerana banyak kalah awal jadi kemenangan ini membuatkan usaha kami berbaloi,” katanya.

Dengan kejuaraan itu, Pei Kee-Mei Xing membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,900 (RM34,005) berserta pingat manakala Nicole-Chu Yun berpuas hati dengan AS$3,800 (RM16,357) dan pingat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top