am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Laungan Allahuakbar oleh penduduk yang kedengaran ketika api marak membakar lima rumah di Kampung Sungai Ayam di sini, hari ini.
Kebakaran pada 3.30 petang itu dipercayai bermula dari rumah di bahagian belakang, sebelum merebak ke rumah lain yang terletak berdekatan.
Mangsa, Norsidah Ismim, 46, berkata, sebelum itu dia terhidu bau hangit dan bertanya anaknya sama ada penduduk kampung membakar sampah atau tidak.
“Tidak lama kemudian api menjulang naik dan terdengar penduduk melaungkan ‘Allahuakbar’.
“Saya menjerit dan berlari keluar memberitahu penduduk berdekatan dan mereka menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan beg sandang manakala beberapa dokumen penting lain musnah.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Azwan Mohd Nasrol, 21, berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila melihat kepulan asap ketika mahu pulang ke rumah selepas menghantar adiknya ke sekolah agama.
“Ketika kejadian kebanyakan penghuni tiada di rumah kerana mereka keluar bekerja sebagai nelayan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penolong Penguasa Ayub Majid berkata, pasukan 13 anggota termasuk dari Balai Bomba Penggaram dikerah ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.58 petang.
“Kebakaran melibatkan lima rumah sementara dan kesemuanya musnah 85 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




