Selebriti serba boleh, Joey Daud mendedahkan pada awalnya dia enggan menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.
Mendedahkan dirinya sudah lama tidak menyanyi kerana sibuk dengan kerjaya lain, sepupunya, penyanyi Naqiu berjaya untuk memujuk dan akhirnya dia menjadi salah seorang peserta Famili Duo 4 (FD4).
“Pada asalnya saya tak nak masuk mana-mana pertandingan. Saya dah lama tidak menyanyi kerana sibuk dengan kerjaya lakonan, pengacaraan dan komedi. Tapi akhirnya, Naqiu memujuk dan saya menyahut cabaran dia.
“Komitmen sebagai penyanyi sangat besar, mental serta fizikal. Sebenarnya saya ada masalah tonsil. Famili Duo 4 seperti kejutkan saya dari tidur. Saya bermula dengan bidang nyanyian dan apa salahnya jika saya kembali menyanyi,” kata Joey.
Joey ditemui XTRA usai konsert minggu pertama FD4 di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam malam tadi.
Dalam pada itu, Naqiu turut mendedahkan dia mencuba untuk memujuk Joey sebanyak empat kali sebelum bekas vokalis kumpulan Exists itu bersetuju untuk menjadi rakan duonya dalam FD4.
“Saya pujuk Joey untuk sertai saya selama empat kali. Sukar untuk mendapatkan persetujuan Joey. Pada awalnya, pihak pengurusan saya berjumpa dengan Joey dan dia ‘sidai’ mereka. Kali kedua, saya hadir bersama pihak pengurusan dan Joey hanya sekadar memberi jawapan ‘tengoklah.’
“Kali ketiga, baru perbincangan kami panjang dan ia berkait dengan format serta rutin program, cara program realiti ini berlangsung, komitmen dan banyak perkara lagi yang dibincangkan. Kali keempat itu barulah ‘lock’ dan bertemu kata putus,” kata Naqiu pula.
Menerima komen yang menegur persembahan mereka di minggu pertama oleh barisan juri dan orang ramai yang menonton, pasangan duo sepupu ini berlapang dada dan tidak meletakkan harapan.
“Bagi saya okay sahaja, minggu pertama adalah tanda ‘establishment’ kami di minggu pertama. Kami tiada isu jika ada yang tak faham dengan persembahan kami. Itu adalah interpretasi kami untuk minggu pertama.
“Sejujurnya, Joey pun ada berpesan, untuk minggu pertama, jangan letak harapan tinggi kerana dia baru sahaja mahu kembali menyanyi. Saya sering memenuhi undangan nyanyian tapi dia pula baru sahaja mahu bermula semula,” kata Naqiu.
Di minggu pertama, Joey dan Naqiu yang menyampaikan lagu Akhirnya Kini Pasti dan Sinaran berjaya menduduki tangga kedua dengan 59 peratus markah.
Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).
Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.