Famili Duo 4: “Dia Tarik Diri Kerana Komitmen Kerja” – Penyertaan Thamiera Chan Di Saat Akhir, Didi Astillah Tak Gaduh Dengan Yazmin Aziz

Famili Duo 4: “Dia Tarik Diri Kerana Komitmen Kerja” – Penyertaan Thamiera Chan Di Saat Akhir, Didi Astillah Tak Gaduh Dengan Yazmin Aziz

Penyanyi dan pelakon Didi Astillah mendedahkan komitmen kerja penyanyi Yazmin Aziz menjadi punca dia menarik diri daripada menyertai Famili Duo 4 (FD4).

Tak timbul sebarang masalah antara mereka, Didi menjelaskan yang Yazmin terikat dengan komitmen tugas yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya tempat itu digantikan oleh Thamiera Chan, anggota kumpulan The Gadys.

“Pertukaran terjadi di saat akhir. Yazmin mempunyai komitmen kerja yang tak dapat dielakkan. Tak ada istilah gaduh-gaduh atau ada masalah. Semuanya baik-baik sahaja. Syukur dipermudahkan kerana di saat-saat akhir, kita dapat persetujuan Thamiera untuk menyertai saya di FD4.

“Tipulah kita cakap pertukaran ini tidak menganggu. Persembahan kami ini persiapan dilakukan sangat ‘last minute’, kami sangat terkejar-kejar. Tapi persembahan di minggu pertama itu kami sudah cuba sehabis baik dalam masa yang singkat,” katanya.

Didi ditemui XTRA usai konsert minggu pertama FD4 di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam malam tadi.

Ketika mula-mula menyertai The Gadys, Thamiera diperkenalkan sebagai anak saudara kepada penyanyi Stacy dan perkara itu menimbulkan rasa syak wasangka orang ramai selepas Thamiera menyertai Didi sebagai pasangan sepupu di FD4.

Menjawab pertikaian hubungan saudara antara Didi dan Thamiera yang ditimbulkan segelintir warganet, adik kepada Bella Astillah itu tenang menangkis dakwaan terbabit.

“Hubungan saudara Thamiera dengan Stacy itu di belah ibu Thamiera. Saya bersaudara dengan Thamiera di sebelah bapanya. Kalau kami tiada ikatan saudara, susah juga. Kalau begitu, saya boleh sahaja pilih sesiapa yang pandai menyanyi dan biasa membuat persembahan untuk menjadi rakan duo saya.

“Tapi disebabkan ini adalah pertandingan Famili Duo, perlu ada hubung kait kekeluargaan, pastinya saya harus mencari mereka yang ada pertalian saudara dan Thamiera adalah orang yang tepat.

“Saya dan Thamiera berhijrah ke Kuala Lumpur di usia yang muda. Ketika kami kecil, kami dah terlibat dalam bidang seni. Minat itu memang ada. Seperti saya sendiri, jika boleh diberikan contoh, saya pernah mencuba untuk beralih bidang kerjaya lain tapi minat itu tetap dalam seni,” kata Didi.

Menurut Thamiera pula, dia terlebih dahulu telah mendapatkan restu dan kebenaran pihak pengurusan bersama anggota The Gadys lain sebelum bersetuju bergabung sebagai rakan duo Didi.

“Saya memang dah bersedia sebelum bersetuju untuk bergabung bersama Didi dalam FD4. Saya terlebih dahulu mendapatkan kata putus pihak pengurusan serta anggota The Gadys yang lain.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan pihak pengurusan dan anggota The Gadys lain untuk menyertai FD4 pada tahun ini bersama Didi.

“Jadi, FD4 ini adalah peluang kami untuk bersaing bersama nama-nama besar industri dan mengutip pengalaman sebagai penyanyi. Ini adalah cabaran dan kami tak pernah meletakkan harapan untuk mejadi juara,” katanya.

Di minggu pertama, Didi dan Thamiera yang menyampaikan lagu Kalis Rindu dan Makhluk Tuhan Paling Seksi menduduki tangga keenam dengan 31.5 peratus markah.

Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).

Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).

Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Scroll to Top