georgie@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi dan pelakon Didi Astillah, 28, tidak tahu perincian isu penarikan diri penyanyi Stacy Anam daripada Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang dijadualkan berlangsung pada 30 November depan.
Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah cuma mendapat tahu mengenai hal itu daripada hantaran penyanyi Akim Ahmad yang juga suami Stacy kerana dia sendiri sibuk fokus program Famili Duo 4 (FD4).
“Sebenarnya saya dapat tahu mengenai perkara terbabit menerusi media sosial. Sejujurnya, sejak kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan persiapan program FD4.
“Jadi saya sebenarnya tidak tahu-menahu. Saya hanya dipanggil oleh pihak penganjur untuk membuat persembahan pada konsert tersebut. Maksudnya orang bayar, kita menyanyi.
“Macam contoh gambar saya ada di poster konsert atau tidak, itu semuanya hak pihak pengurusan iaitu penganjur,” katanya ditemui pada konsert minggu pertama FD4, di sini, semalam.
Didi yang juga adik kepada penyanyi Bella Astillah berkata dia dan Bella tak ada kena mengena dengan pihak penganjur, guna pengaruh mereka untuk acara itu dan sebagainya.
“Saya hanya menjadi satu daripada seorang penyanyi yang bakal membuat persembahan pada A Night With Sumandak Stars. Itupun sebenarnya, keberadaan saya pada konsert itu hanyalah sebagai penampilan khas.
“Malah sebelum hadir pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini, saya ada bertanya sama ada saya perlu hadir atau tidak. Lalu mereka pelawa saya untuk sama-sama datang.
“Ingatkan datang untuk berikan sokongan sahaja, tapi tak tahulah pula ada gambar saya terpampang di poster. Saya macam… okay, kira ini pun adalah satu peluang dan saya anggap ini sebagai rezeki,” katanya lagi.
Terdahulu, Stacy pada Jumaat menerusi syarikat pengurusan, Rythm & Rhyme mengumumkan mengenai penarikan dirinya dari Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang bakal dilangsungkan di Zepp Kuala Lumpur.
Kelmarin, penganjur memuat naik poster terbarunya yang meletakkan semua gambar artis yang terbabit dalam saiz sama rata tanpa gambar Stacy selepas pengumumannya menarik diri.
Selain Bella dan Didi, bintang yang turut terbabit dalam menjayakan konsert berkenaan ialah Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat dan Wani Kayrie.
© New Straits Times Press (M) Bhd