Sultan Terengganu kurnia tanah projek Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur

Sultan Terengganu kurnia tanah projek Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur

am@hmetro.com.my

Setiu: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan sebidang tanah seluas 28.4 hektar untuk projek pembinaan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Timur di Lembah Bidong di sini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, pengurniaan tanah itu membuktikan keprihatinan Sultan Mizan dalam usaha kerajaan memulihkan pesakit yang hilang upaya.

Menurutnya, projek pembinaan pusat rehabilitasi itu membabitkan peruntukan sebanyak RM517.8 juta itu dijangka berupaya menampung lonjakan keperluan perkhidmatan pemulihan termasuk pesakit dari Kelantan dan Pahang.

“Projek pembinaan PRPWT adalah pusat rehabilitasi ketiga terbesar dan paling lengkap di Terengganu selepas Melaka dan Perak.

“Pusat rehabilitasi yang akan dibina ini menyediakan sebanyak 315 katil dengan pelbagai perkhidmatan rawatan ditawarkan meliputi rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics,” katanya pada majlis Pecah Tanah PRPWT di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Datuk Azman Mohd Yusoff, Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak Datuk Dr Hafez Hussain.

Mengulas lanjut, Steven berkata, PRPWT yang dijangka siap pada 2027 itu turut menyediakan rawatan terapi inovatif seperti ‘Thalassotherapy’ pertama di negara menggunakan elemen penyembuhan air laut.

Katanya, rawatan kaedah ‘Hippotherapy’ yang menggunakan kuda sebagai instrumen untuk membantu pemulihan fizikal, mental dan kognitif juga turut disediakan.

“PRPWT yang akan dibina juga selaras dengan aspirasi 3K Kesuma yang merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja, peningkatan kemahiran dan keberhasilan pekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top