Woods tampil buat kali pertama di TGL

Woods tampil buat kali pertama di TGL

Florida: Tiger Woods dijangka membuat penampilan pertama di liga TGL pada 14 Januari, menurut pengumuman liga golf pasukan berteknologi tinggi itu bersama jadual penuh untuk musim sulungnya yang akan diadakan sepenuhnya di Palm Beach Gardens, Florida.

Pertandingan pertama juara kejuaraan utama 15 kali itu akan berlangsung pada minggu kedua musim di dalam venue yang boleh menampung 1,500 peminat, dengan padang permainan yang mempunyai skrin simulator setinggi lima tingkat dan permukaan putt yang boleh disesuaikan.

Woods yang berusia 48 tahun, yang menjalani pembedahan belakang pada bulan September dan bermain dengan jadual terhad dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat kecederaan, adalah pemilik bersama Jupiter Links Golf Club, sebuah pasukan yang terdiri daripada dirinya, Max Homa, Tom Kim, dan Kevin Kisner.

Jupiter Links akan berdepan pasukan Los Angeles Golf Club yang terdiri daripada Collin Morikawa, Sahith Theegala, Tommy Fleetwood, dan Justin Rose dalam perlawanan pertama mereka.

Sebelum setiap perlawanan TGL, pasukan akan menamakan tiga pemain untuk bertanding dalam pertandingan 15 lubang yang akan mempunyai dua sesi: sembilan lubang dengan pukulan alternatif tiga lelaki diikuti oleh enam lubang permainan satu lawan satu.

Perlawanan pembukaan TGL pada 7 Januari akan menampilkan pasukan New York Golf Club yang terdiri daripada Xander Schauffele, Matt Fitzpatrick, Rickie Fowler, dan Cameron Young menentang pasukan The Bay Golf Club yang terdiri daripada Ludvig Aberg, Wyndham Clark, Lee Min Woo dan Shane Lowry.

TGL, sebuah liga golf waktu utama yang menampilkan enam pasukan dengan empat pemain bersaing dalam bentuk golf pasukan yang pantas, ditubuhkan pada 2022 oleh Woods dan Rory McIlroy melalui TMRW Sports dengan kerjasama Jelajah PGA.

McIlroy dari Ireland Utara adalah sebahagian daripada Boston Common Golf bersama Keegan Bradley, Adam Scott, dan Hideki Matsuyama dan perlawanan pertama mereka dijadualkan pada 27 Januari menentang Jupiter Links milik Woods.

Pemain golf akan memulakan permainan dari kotak tee rumput sebenar untuk bermain lubang maya yang direka khas pada skrin besar.

Selepas pasukan berada dalam jarak kira-kira 50 meter, mereka akan beralih ke aksi langsung dan menyelesaikan setiap lubang di kompleks permainan pendek yang berubah antara lubang.

Teknologi akan membantu menjadikan setiap lubang unik dan termasuk turntable selebar 37.5 meter yang berputar untuk mengubah sudut pendekatan green dan bunker, sementara penggerak motor tertanam di bawah permukaan putt boleh mengubah topografi permukaan berkenaan.

Dua bulan sebelum tarikh pelancaran awalnya pada Januari 2024, satu gangguan kuasa menyebabkan keruntuhan dan kerosakan pada bahagian dome yang disokong udara di venue TGL.

Penganjur menggantikannya dengan struktur yang disokong keluli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top