Garis panduan pengurusan buli bagi anggota KKM bakal dikeluarkan

Garis panduan pengurusan buli bagi anggota KKM bakal dikeluarkan

saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsan (NCEMH).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, garis panduan itu bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja.

Selain itu, katanya ia turut menjelaskan prosedur pelaporan, langkah-langkah pencegahan dan intervensi terhadap individu serta organisasi bagi memelihara kesejahteraan fizikal dan mental anggota.

“Garis panduan itu penting untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni, bebas daripada ancaman buli.

“Secara prinsipnya, KKM tidak berkompromi dengan isu buli dan berdasarkan aduan kes sebelum ini, KKM mengambil sikap tegas dan telus dengan melaporkan hasil siasatan yang dijalankan.

“Malah KKM juga sudah melancarkan sistem aduan buli secara dalam talian iaitu sistem MyHELP bagi membolehkan pegawai menyalurkan aduan mengenai insiden buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat KKM tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi menjaga kebajikan dan memelihara kesejahteraan mental dalam kalangan petugas kesihatan.

“Antara program itu ialah memberi sokongan emosi dan intervensi awal berkaitan kesihatan mental kepada petugas kesihatan yang memerlukan melalui Talian Krisis Kesihatan Mental atau dikenali sebagai Talian HEAL 15555 yang dikendalikan oleh pegawai psikologi KKM.

“Selain itu memperluas perkhidmatan kaunseling oleh pegawai psikologi terlatih serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), membekalkan petugas kesihatan dengan Mental Health Alert Card sebagai panduan untuk persediaan kesihatan mental apabila bertugas di lapangan terutamanya dalam situasi krisis dan bencana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top